Abang Jo mahu pasport Limbang-Brunei dihapuskan, akan bincang dengan PM

LIMBANG: Kerajaan Negeri akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan agar berbincang dengan Kerajaan Brunei Darussalam untuk menghapuskan penggunaan pasport di antara kedua-dua wilayah, terutamanya yang melibatkan penduduk Limbang.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu boleh dilakukan atas semangat Asean, kerana konsep yang sama pernah dilaksanakan di Eropah.

“Saya pernah menaiki bas dari Belgrade, Hungary dan tiba di Vienna tanpa pengesahan pasport.

“Jadi sewajarnya ia dipraktiskan juga di antara kedua-dua negara ini, terutamanya di Limbang yang berjiran dengan Brunei Darussalam,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah dan Mula Kerja Jambatan Limbang 2 di sini petang semalam.

Hadir sama ialah dua Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Ahli Parlimen Limbang, Ir Hasbi Habibollah.

Jambatan Limbang 2 dicadangkan pembinaannya pada era pemerintahan Tun Abdul Taib Mahmud dan dirancang pada waktu Tan Sri Adenan Satem sebagai Ketua Menteri.

Menjelas lanjut, Abang Johari berkata beliau akan berbisik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak berhubung cadangan itu pada bulan hadapan, kerana hubungan luar negara merupakan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.

“Beliau (Najib) akan bertemu dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dalam perundingan dua buah negara di Kuching dalam tempoh tersebut,” jelasnya lagi.

Pada majlis tersebut, beliau turut memaklumkan bahawa jambatan yang pada asalnya dua lorong ini kini diperbesar kepada empat lorong, selari dengan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

Pembinaan projek ini akan dilaksanakan oleh Perbadanan Limbungan dan Kejuruteraan Brooke dan dijangka siap pada tahun 2021.

“Apabila siap kelak ia akan menjadi salah satu ikonik bandar Limbang selain projek lain iaitu Tebingan Sungai Limbang, jalan ke Gunung Buda dan Projek Perumahan Rangau.

Abang Johari turut memberi jawapan positif kepada cadangan Hasbi untuk memajukan kawasan Teluk Brunei sebagai resort pelancongan. – Sarawakvoice

Comments