Menantu mengamuk, pukul bapa mentua dengan lesung batu di Miri

MIRI: Ketika cuba mengangkat motosikalnya yang sengaja direbahkan oleh menantu perempuannya, tiba-tiba menantunya itu mengamuk lalu memukul mentuanya dengan lesung batu.

Akibat pukulan tersebut, lelaki warga emas, 67, yang juga pengawal keselamatan calar di dahi bahagian mata kiri dan cedera lutut kiri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit dalam kenyataan mengesahkan menerima laporan kejadian yang berlaku 3.15 petang Ahad lalu di rumah mangsa di Kampung Piasau Utara.

Menurut Stanley, menantu mangsa warga Filipina itu mempunyai dua anak tinggal bersama mangsa dan kerap mengamuk.

Polis sudah menahan wanita tersebut untuk direman dan dirujuk ke hospital mental bagi menjalani ujian kesihatan mental.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana kesalahan dengan sengaja mendatangkan kecederaan. – Sarawakvoice

Comments