Mayat pengusaha pub ditemui tersadai dan kembung di atas batu Sungai Semadang di Kampung Danu

PADAWAN: Polis sedang menyiasat kemungkinan wujudnya elemen jenayah berhubung penemuan satu mayat lelaki Cina di Sungai Semedang, berhampiran Kampung Danu di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Melbin Lisa berkata, mayat mangsa ditemui sekitar jam 12 tengah hari tersangkut pada batu, dalam keadaan tertiarap oleh sekumpulan pelancong.

“Ketika ditemui, mayat mangsa tidak berbaju, berseluar pendek warna coklat dan berkaki ayam.

“Tiada pengenalan diri dijumpai pada jasad mangsa yang dalam keadaan mengembang dan membusuk, selain kesan luka sepanjang 2 inci di bahagian belakang badan dan bawah ketiak kanannya.

Pemeriksaan lanjut oleh pasukan penyiasat turut menemui sebuah kereta jenis Honda City milik mangsa di tempat letak kereta di Kampung Danu, kira-kira satu kilometer dari mayatnya ditemui.

Menurut saksi, kereta tersebut telah ditinggalkan di situ selama tiga hari.

Kata Melbin lagi, keluarga mangsa akhirnya berjaya dihubungi, dan berdasarkan tanda tatu pada badannya, identitinya dikenal pasti sebagai Norman Kho Gee Lin, 32 tahun dari Taman Uni Garden di Kota Samarahan.

Sementara itu, isteri mangsa memaklumkan bahawa kali terakhir mangsa berhubung dengannya adalah pada jam 2.00 petang 26 September lalu.

Dia kemudian gagal dihubungi selepas itu, dan setelah 24 jam, isterinya membuat laporan polis akan kehilangannya di Kota Samarahan.

“Mangsa merupakan pengusaha sebuah pub di Jalan Song yang telah beroperasi sekitar empat 4 tahun.

“Siasatan turut meliputi pelbagai aspek termasuk sama ada mangsa berhadapan masalah hutang dan sebagainya.

Ketika ini kata Melbin, kes masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut, sementara menunggu proses bedah siasat yang dijadualkan pada jam 10 pagi esok. – Sarawakvoice

Comments