Lagi guru dicekup, kali ini cabul dua murid lelaki tahun 5 di Serian

SERIAN: Akibat gagal membendung nafsu, seorang guru menjadi penghuni lokap malam ini bagi membantu siasatan kes cabul terhadap dua muridnya.

Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, guru berusia 37 tahun yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Sungai Menyan, dekat sini ditangkap jam 3 petang tadi ketika diminta hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Serian.

Kes mengenai lelaki in dilaporkan oleh keluarga mangsa kepada pihak polis selepas usaha melaporkan perbuatan mangsa kepada pengurusan sekolah sepi daripada tindakan.

Terdahulu kata Dev, mangsa pertama iaitu seorang murid lelaki tahun 5, yang berumur 10 tahun 11 bulan mendedahkan, dia telah dipanggil oleh suspek ke Pejabat Hal-Ehwal Murid sekolah berkenaan pada sekitar Mei lalu.

“Suspek kemudian telah mengunci pintu bilik tersebut sebelum mencabul mangsa.

Pada Ogos lalu katanya, suspek kembali mengulangi perbuatannya.

“Kali ini mangsanya adalah seorang murid tahun 5 lain yang berumur 10 tahun 9 bulan.

“Mangsa telah dibawa ke bilik stor di sekolah yang sama dan suspek cuba mencabulnya.

“Mangsa bagaimanapun sempat menghalang perbuatan suspek sebelum melarikan ke dalam kelas.

Suspek kata Dev, ditahan di bawah Seksyen 14 (a), (b) dan (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok di Mahkamah Samarahan,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Comments