Guru cabul dua murid lelaki di Serian direman tujuh hari

SERIAN: Seorang guru yang bertindak mencabul dua muridnya di sebuah sekolah rendah di sini direman tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan pihak polis.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Serian, Ivon Endrew susulan penahanan guru berusia 37 tahun terbabit di sebuah sekolah rendah di Sungai Menyan dekat sini, semalam.

Guru terbabit dicekup sekitar jam 3 petang semalam ketika diminta hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Serian.

Kes mengenai lelaki ini dilaporkan oleh keluarga mangsa kepada pihak polis selepas aduan kepada pengurusan sekolah sepi daripada tindakan.

Terdahulu, mangsa pertama iaitu seorang murid lelaki tahun 5, yang berumur 10 tahun 11 bulan mendedahkan, dia telah dipanggil oleh suspek ke Pejabat Hal-Ehwal Murid sekolah berkenaan pada sekitar Mei lalu.

Suspek kemudian mengunci pintu bilik sebelum mencabul mangsa.

Pada Ogos lalu, suspek mengulangi perbuatannya dan mangsanya adalah seorang murid tahun 5 lain yang berumur 10 tahun 9 bulan.

Mangsa telah dibawa ke bilik stor di sekolah yang sama dan suspek cuba mencabulnya. Mangsa bagaimanapun sempat menghalang perbuatan suspek sebelum melarikan ke dalam kelas.

Suspek disiasat  di bawah  Seksyen 14 (a), (b) dan (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – Sarawakvoice

Comments