Datuk dan cucu lesap di Batang Sadong setelah bot terlanggar kayu

SIMUNJAN: Batang kayu yang hanyut menjadi punca seorang warga emas berusia 70 tahun dan cucunya lesap, selepas bot yang dinaikinya terbalik di Sungai Batang Sadong berhampiran Kampung Tegelam di sini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hi berkata, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 6.30 petang semalam apabila mangsa yang dikenali sebagai Kajim telah menaiki bot dari Kampung Tegelam menuju ke Kampung Lubok Punggor untuk menjemput cucunya di seberang sungai.

“Ketika menghampiri tebing sungai Kampung Lubok Punggor, bot yang dinaiki mangsa telah melanggar batang kayu sebelum terbalik.

Cucu mangsa, Kalawin Jefferi, yang ketika itu bersama-sama rakannya yang menyaksikan kejadian tersebut terus terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mangsa.

“Namun ketika kejadian, arus sungai agak deras dan telah menyebabkan mangsa bersama cucunya dihanyutkan air.

“Rakan mangsa yang turut terjun berjaya berenang ke tebing dan segera memaklumkan kejadian tersebut kepada penduduk kampung.

Ling Hi berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Balai Polis Simunjan sekitar jam 11.14 malam tadi dan bertindak menghantar empat anggota ke lokasi.

Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan memulakan proses mencari dan menyelamat sekitar jam 8 pagi tadi pada radius pencarian dua kilometer ke hulu dan hilir sungai, di sekitar pangkalan Kampung Tegelam dan pangkalan Kampung Lubok Pungor.

“Operasi turut disertai penduduk kampung namun sehingga petang tadi, kedua-dua mangsa masih belum ditemui,” tambahnya. – Sarawakvoice

Comments