Denda daftar kelahiran lewat di S’wak RM10 sahaja, hanya Semenanjung kenakan RM1,000

SRI AMAN: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Masir Kujat menjelaskan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak tidak mengenakan kompaun sehingga RM1,000 bagi setiap pendaftaran sijil kelahiran yang lewat daripada 42 hari selepas tarikh kelahiran di negeri ini.

Menurut Masir, kompaun tinggi itu hanya dikuat kuasa Semenanjung dan tidak dilaksana di negeri ini.

Kompaun yang dikenakan di Sarawak bagi setiap permohonan lewat hanya RM10 sahaja.

Berucap merasmikan Program Outreach Khas “Segulai Sejalai” anjuran JPN Sarawak di Dewan Suarah, Masir berkata tiada kompaun seumpamanya yang didakwa membebankan masyarakat luar bandar Sarawak.

Gambar fail

Masir mengingatkan, jika pasangan suami isteri mahu mengelak kompaun RM10 itu, setiap kelahiran mestilah didaftar awal.

Ketua Kaum serta ketua masyarakat di Sarawak diperingatkan memainkan peranan mengesan penduduk di bawah jagaan masing-masing agar tidak lewat mendaftarkan sijil kelahiran anak masing-masing.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed mengumumkan denda sehingga RM1,000 berkuat kuasa serta-merta dikenakan terhadap pasangan yang gagal mendaftar kelahiran dan surat beranak anak mereka dalam tempoh 60 hari.

Sebelum ini, denda pendaftaran lewat bagi kelahiran di Semenanjung ialah RM50 sahaja.

Beliau berkata, langkah meningkatkan denda bukan bertujuan mengutip hasil, sebaliknya menggalakkan ibu bapa mempercepat pendaftaran kelahiran anak.

Menurut beliau, pendaftaran kelahiran tidak boleh diambil mudah dan sambil lewa kerana menimbulkan pelbagai masalah berbangkit ketika anak membesar termasuk kesulitan mendaftar MyKid serta persekolahan.

Kerajaan menaikkan jumlah denda lewat daftar selepas pindaan Akta 299 Kelahiran, Kematian dan Anak Angkat yang diluluskan Dewan Rakyat 2016.

Ogos lalu, tempoh pendaftaran lewat kelahiran dilanjutkan dari 42 kepada 60 hari bagi memberi peluang ibu bapa atau ibu tunggal berpantang dan menguruskan bayi sebelum hadir di hadapan pendaftar kelahiran. – Sarawakvoice

Comments