PBDS Baru mahu universiti Dayak dibina di Sri Aman

SRI AMAN: Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Cobbold John semalam mahu sebuah universiti berasaskan Dayak dibina di Bandar Sri Aman.

Menurutnya, perkara ini amat wajar kerana kewujudannya akan menjadikan universiti ini institusi pengajian tinggi Dayak yang pertama di negeri ini.

“Pembinaan sebuah universiti di Sri Aman ini merupakan salah satu daripada manifesto kita dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-14.

“Ia akan dikenali sebagai Universiti Datuk Tawi Sli bersempena dengan Ketua Menteri Sarawak yang kedua, mendiang Datuk Tawi Sli.

Tegasnya, manifesto ini akan diperjuang sekiranya rakyat Sri Aman memberi mandat serta kemenangan kepada PBDS.

“Saya akan mengusulkan pekara ini di parlimen,” tambahnya lagi.

Cobbold yang juga calon PBDS untuk P202 Sri Aman berkata, bekas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu pernah berjanji untuk membina sebuah universiti di Betong, namun tidak menjadi kenyataan.

“Pendidikan merupakan agenda yang amat penting bagi masyarakat Dayak dan ini bertepatan dengan usaha untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan.

“Ia juga membuka peluang pekerjaan kepada seluruh anggota masyarakat selain membantu perkembangan sosioekonomi mereka.

Idea ini lebih idealistik daripada membina kasino, katanya.

“Bukankah membina kasino di Tunoh, itu merapu dan menggalakkan perjudian?

“Ia juga bukan alternatif yang baik untuk meningkatkan sosioekonomi.

Mengulas situasi politik dan juga kecelaruan dalaman yang berlaku dalam Parti Rakyat Sarawak, Cobbold berkata ia akan memberikan kelebihan kepada PBDS dan beliau telah memberitahu jentera PBDS agar bersiap siaga menentang siapa pun calon PRS.

“Saya tidak hendak komen banyak….James Masing dan Joseph Entulu… dua-dua patut undur diri.

“Mereka gagal menjalankan tugas sebaliknya berdepan dengan karmalah!

PBDS dibubarkan Pendaftar Pertubuhan  pada tahun 2004 dan didaftarkan kembali dengan nama PBDS Baru pada tahun 2013.

Pada Pilihan Raya Umum kali ini, PBDS turut meletakkan Johnny Chuat untuk bertanding di P203 Lubok Antu. – Sarawakvoice

Comments