Abang Johari tidak sependapat dengan Pandikar Amin berhubung MA63

KUCHING: Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini berkata, beliau tidak sependapat dengan kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengatakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak penting.

“Saya hanya mahu menegaskan yang saya tidak sependapat dengan Pandikar Amin berhubung MA63 … Saya berpendapat, anda tidak boleh memerihalkan Perjanjian Malaysia 1963  tidak penting.“Saya mempunyai pandangan yang berbeza (daripada Pandikar Amin), Perjanjian Malaysia 1963, dokumen yang sangat penting, di mana hak-hak kewilayahan Sabah, Sarawak Semenanjung Malaysia merupakan asas kepada perjanjian ini,” tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Konvokesyen Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan Kolej Antarabangsa Teknologi Lanjutan Sarawak (i-CATS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini.Menurut Abang Johari, jika Pandikar Amin mengatakan MA63 tidak penting, beliau silap.Baru-baru ini, Pandikar Amin ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Awam 20Perkara dan MA63 di Kota Kinabalu, mempersoalkan motif sebenar pihak yang mempersoalkan hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63.

Beliau berkata, kebanyakan tafsiran mengenai kandungan sebenar MA63 dan semua dokumen serta peristiwa sejarah yang direkodkan dalam proses pembentukan Malaysia perlu difahami sebelum membuat tafsiran berhubung isu berkaitan.“Sejak dari awal pembentukan Malaysia lagi sudah jelas dinyatakan dalam MA63 bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan sama dengan negeri lain di Semenanjung Malaysia tetapi ia memiliki autonomi berbeza dan hak jaminan Perlembagaan.

“Namun ada pihak seperti Kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) berpusat di United Kingdom diketuai Doris Jones serta pemimpin-pemimpin pembangkang negeri ini (Sabah) , mendakwa taraf Sabah dan Sarawak sudah dilucutkan,” ujarnya.Kenyataan Pandikar Amin itu terus diselar oleh pelbagai pihak khususnya pemimpin serta aktivitis Sabah dan Sarawak. -Utusan Borneo online

Comments