KAPIT: Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila perahu yang dinaikinya dengan tiga yang lain terbalik sebelum karam di Nanga Antalawan, Sungai Balleh, dekat sini awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii ketika mengesahkan insiden berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5 pagi ketika kesemua mangsa dalam perjalanan turun ke tempat kerja dari Kem PJA Trinity Sdn. Bhd. menuju Nanga Antalawan Balleh.
“Pihak kita dimaklumkan tentang kejadian oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit sekitar jam 9.25 pagi.
“Kita dimaklumkan bahawa tiga daripada rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa sendiri ghaib ditelan arus.
Katanya, kesemua rakan mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Kapit sebelum memanjangkan kes kepada pihak bomba.
“Kita telah mengaktifkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama-sama beberapa agensi lain termasuk Lembaga Sungai Sarawak (LSS) Kapit dan menggerakkan bot penyelamat.
Jarak perjalanan ke lokasi kata Ling Hii, dianggarkan sekitar dua jam 30 minit, menggunakan bot menyusuri sungai menuju hulu Balleh.
“Mangsa yang hilang kemudian dikenal pasti sebagai Gomes Hillary Jugah, 35 tahun, yang berasal dari Selangau,” katanya lagi. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment