Tanpa Sarawak dan Sabah, Malaysia tidak wujud

KOTA KINABALU: DAP Sabah memberi peringatan kepada pemimpin Barisan Nasional (BN) Sabah  supaya tidak cuba memadamkan fakta bahawa Sabah dan Sarawak ialah rakan kongsi setara dalam Persekutuan Malaysia.

Setiausaha DAP Sabah, Chan Foong Hin berkata: “Tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia tidak akan wujud.”

Chan menegaskan, Sabah dan Sarawak tidak pernah menjadi ‘hanya salah satu negeri’ dalam Persekutuan Malaysia.

“Dua wilayah ini memiliki autonomi yang lebih dan termaktub serta dilindungi bukan sahaja oleh Perlembagaan Persekutuan malah juga dalam MA63 dan Laporan Inter-Governmental Committee (IGC),” katanya dalam satu kenyataan.

Gambar fail

Chan mengulas kenyataan Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia dalam sebuah forum di sini baru-baru ini yang menggambarkan dua wilayah itu ‘tidak pernah menjadi dua negara berasingan sebaliknya hanya sekadar jajahan British.’

Beliau juga mendakwa Sabah tidak pernah diturun taraf menjadi hanya salah satu negeri di Malaysia dalam masa yang sama dilihat memainkan sentimen kewilayahan apabila mengakui bahawa hak-hak Sabah tidak ditunaikan sepenuhnya dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut Chan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung, kenyataan Pandikat itu jelas memperlihatkan pemikiran arus perdana  para pemimpin BN Sabah yang cuba memadamkan sejarah tersebut.

“Meskipun Sabah dan Sarawak bukan sebuah ‘negara’ sebelum pembentukan Malaysia, kedua-dua wilayah ini menandatangani MA63. Kita merupakan pengasas kepada persekutuan (Malaysia). Tanpa Sabah dan Sarawak, tidak akan ada Malaysia,” tegasnya dalam kenyataan berkenaan. – Sarawakvoice

Comments