Pandikar dakwa tiada dalil Sarawak, Sabah setaraf Malaya dalam MA63

KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin mengaku “pro-Malaysia” dan keras menyelar dakwaan nasionalis Borneo bahawa Sabah dan Sarawak merupakan rakan kongsi sama rata ketika Persekutuan Malaysia dibentuk.

“Sebagai orang Sabah, saya tidak pernah rasa hak saya terhakis atau dicabuli,” kata Pandikar ketika melancarkan bukunya bertajuk “Berpisah Tiada” di Parlimen pada Isnin.

Pandikar anak kelahiran Sabah itu berkata, terdapat hujah bahawa Sabah-Sarawak dan Tanah Malaya merupakan rakan kongsi sama rata, namun statusnya ditukar sebagai negeri dalam Persekutuan selepas pindaan perlembagaan 1976.

Buku “Berpisah Tiada” menerangkan isu berkaitan Sabah serta sejarah Penubuhan Malaysia 1963 dan kedudukan Sabah, Sarawak dalam Persekutuan Malaysia berdasarkan kajian beliau.

Pandikar menyifatkan penjelasan dalam buku tersebut sebagai sebahagian tanggungjawab beliau kepada generasi muda.

Menurut beliau semasa membaca laporan suruhanjaya siasatan membincangkan laporan Suruhanjaya Cobbold 1962 iaitu Inter-Governmental Committee (IGC), beliau “tidak terjumpa dalil mengatakan Sabah dan Sarawak sama taraf dengan Malaya. Tidak ada.”

Suruhanjaya Cobbold dibentuk kerajaan British dan Malaya 1962 bagi mengumpul pandangan rakyat Sabah dan Sarawak berkaitan cadangan pembentukan Malaysia.

Sementara, Pandikar turut sedia berdebat isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di luar Parlimen dan tidak dapat menyahut seruan mendebatkan perkara itu di Parlimen kerana beliau mempengerusikan Dewan Rakyat.

“Saya minta diadakan debat terbuka. Saya sedia sahut seruan kamu di luar Parlimen. Namakan tempat dan masa dan Pandikar Amin akan turun,” ujar beliau.

Pandikar berkata tiada kes mengatakan Sabah dan Sarawak sama taraf dengan Tanah Melayu apabila semua negeri sama taraf di Malaysia.

Tambah Pandikar, “sama sekali tidak jika kamu faham konsep Persekutuan. Persekutuan bererti semua negeri mesti sama taraf, jadi bagaimana kamu boleh kata Sabah dan Sarawak sama taraf dengan Tanah Melayu sedangkan selepas Malaysia terbentuk pada 1963, Tanah Melayu tidak lagi wujud.”

Pandikar menyalahkan suara tidak bertanggungjawab mendakwa hak rakyat Sabah dan Sarawak diambil.

Beliau menganggap dakwaan tersebut cuma retorik politik kosong oleh pihak tertentu yang tidak memahami perjanjian tersebut sepenuhnya.

Pandikar sedia menyatakan pendirian beliau meskipun digelar pengkhianat mempertahankan keputusan Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia.

“Jika tidak, di mana mereka (kita) sekarang ini? Kita mungkin jadi salah satu wilayah Filipina atau Indonesia,” ujar Pandikar. – Sarawakvoice

Comments