KUALA LUMPUR: Sekian lama menyimpan impian, akhirnya hasrat Joseph Kalang Tie untuk menyarung jersi Selangor menjadi kenyataan musim depan.
Joseph mengesahkan sudah memuktamadkan rundingan bersama Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) baru-baru ini dan hanya menunggu ikatannya bersama Pahang terlerai secara rasmi pada 1 Disember ini untuk menandatangani kontrak bersama juara Piala Malaysia 33 kali itu.
"Saya sangat gembira serta teruja kerana cita-cita untuk mewakili Selangor akhirnya menjadi kenyataan. Sudah lama saya menunggu saat ini.
"Sejak kanak-kanak lagi, Selangor pasukan kegemaran saya. Walaupun duduk jauh di pedalaman Sarawak, namun ia tidak menghalang saya untuk mengikuti perkembangan pasukan itu.
"Saya tertarik dengan pasukan itu kerana sejarahnya sebagai pasukan hebat yang banyak kali bergelar juara malah pernah diwakili ramai legenda bola sepak negara seperti Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun, Datuk Santokh Singh serta ramai lagi.
"Antara pemain Selangor yang menjadi idola saya adalah pemain Indonesia, Bambang Pamungkas dan Amri Yahyah kerana kelincahan mereka sebagai penyerang.
"Sejak bergelar pemain profesional, saya sering berangan-angan alangkah seronoknya jika dapat mewakili Selangor. Saya memang berharap ia boleh jadi kenyataan," katanya.
Menurut Joseph, impiannya untuk menyarung jersi Red Giants hampir menjadi kenyataan lebih awal namun ikatan kontrak bersama Sarawak ketika itu menjadi penghalang.
"Saya pernah menerima tawaran Selangor pada 2013 tapi kerana masih mempunyai kontrak dengan Sarawak, saya terpaksa menolaknya walaupun ketika itu teringin sangat hendak bermain dengan mereka.
"Ternyata, baru sekarang rezeki saya bersama Selangor. Ia belum terlambat walaupun saya kini berusia 30 tahun. Saya yakin masih berada pada prestasi terbaik untuk membantu pasukan itu.
"Kontrak saya bersama Selangor kelak hanya setahun, jadi saya harus menggunakan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin untuk membuktikan kebolehan serta membalas kepercayaan mereka.
"Saya yakin, jika mampu bermain dengan baik, mereka pasti menawarkan kontrak lanjutan. Kalau boleh saya mahu bermain seberapa lama bersama Selangor," kata Joseph yang pernah beraksi dengan Terengganu. -Berita Harian Online
Comments
Post a Comment