Juanda: Segala hak Sarawak akan terus terpelihara di bawah kepimpinan Ketua Menteri

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri  (Adun) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya menyifatkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai kerajaan yang bertanggungjawab serta tahu memahami kehendak dan aspirasi rakyat.

Katanya ketika menyertai perbahasan belanjawan di Dewan Undangan Negeri semalam, setelah sekian lama sebahagian besar bajet diperuntukkan untuk membangunkan kota dan bandar, kini giliran luar bandar pula mendapat bahagian.

Kerajaan Negeri Sarawak merancang membelanjakan RM5.74 bilion atau kira-kira 70 peratus daripada bajet negeri 2018 untuk pembangunan dan RM2.481 bilion atau 30 peratus, untuk perbelanjaan mengurus.

Jumlah ini lebih besar berbanding RM2.65 bilion untuk 2016 dan RM2.98 bilion untuk 2017.

“Manakan tidak, sekian lama luar bandar adalah kubu utama tanpa gagal untuk memastikan kerajaan Barisan Nasional kekal di tampuk kuasa. Manakala kawasan bandar, kadangkala akibat tipu helah pembangkang, kawasan yang dilonggokkan dengan pembangunan oleh kerajaan masih terus menyangka bahawa usaha murni kerajaan itu adalah daripada pembangkang di kawasan bandar sebahagiannya menjadi umpama lembu punya susu, sapi punya nama,” katanya.

Katanya lagi: “BN punya kerja, pembangkang tengok saja. BN kerja kuat, pembangkang temberang kuat. BN kerja rajin, tapi pembangkang rajin komplen.

Mengulas tentang usaha Kerajaan Negeri terus lantang membawakan isu hak Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 secara berhemah dan bijaksana, Juanda berkata, “Kita mahu apa yang kita mahukan tercapai. Kita tidak gopoh. Kita tidak mahu jadi umpama yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.”

Katanya, hasil kebijaksanaan Ketua Menteri, telah memberikan jaminan penuh bahawa segala hak Sabah dan Sarawak akan terus terpelihara.

“Mereka tahu hak Sarawak dan kita tahu hak kita. Maka jalan perundingan adalah lebih baik dengan segala saluran kita luas terbuka,” katanya.

Usul penubuhan Jawatankausa Petugas Khas yang dibentangkan turut mendapat sokongan pembangkang minggu lalu.

“Kita mahukan semua isu dibincangkan dan tidak ada yang tertinggal tersembunyi di bawah karpet. Lantan itu ia mendapat sokongan mutlak daripada Ahli Dewan termasuk pembangkang,” ujarnya.

Beliau berkata, pembangkang mahu menangguk di air keruh.

“Sebab apabila air sudah menjadi keruh, senang bagi mereka menangkap ikan. Ini umpan lapuk yang digunakan. Carilah idea dan cara lain yang lebih bernas dan bertamadun kalau mahu mengenakan kerajaan Barisan Nasional,”’ tegasnya. – Sarawakvoice

Comments