Gerald Rentap mahu kampus universiti ditubuhkan di Betong

KUCHING: “Tubuhkan kampus universiti di Betong,” cadang Adun Layar, Gerald Rentap Jabu semalam yang mengejutkan banyak pihak.

Beliau bagaimanapun mempunyai justifikasinya tersendiri kerana subjek yang dicadangfokuskan adalah berkait pertanian dan pengurusan serta kajian saintifiknya.

“Ini juga selari dengan visi Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mahukan membangunkan agropolitan Bukit Sadok,” jelasnya lagi.

Dengan adanya universiti ini, katanya kajian tentang tanaman dan kesesuaian tanah, malah penyelidikan dan pembangunan kaedah pertanian terbaik dan kacukannya dapat dijalankan.

Sesuai dengan pertanian digital dan menggunakan sensor, sewajarnya konektiviti internet di kawasan ini juga ditingkatkan segera, tambahnya.

Bagi menjayakan proses pertanian digital kata Gerald, pusat inkubasi dan hub inovasi juga perlu diwujudkan di sini selain pusat pengumpulan dan pemasaran produk.

“Sesuai dengan visi Ketua Menteri ini juga, saya meminta Jabatan Pertanian memberi bantuan dan petani-petani membimbing muda untuk menceburkan diri dalam bidang fertigasi dan hidroponik.

Katanya lagi, beliau amat berharap dengan adanya tanah, modal, latihan dan nasihat pakar, petani dan usahawan yang serius dapat dilahirkan dan agropolitan Bukit Sadok seterusnya menjadi pembekal sumber untuk pemasaran digital produk Sarawak ke dunia luar. – Sarawakvoice

Comments