Jambatan Darul Hana ditutup hingga selepas Regata Sarawak demi keselamatan — Karim

KUCHING: Faktor keselamatan menjadi punca Jambatan Darul Hana masih belum dibuka kepada umum untuk masa terdekat ini.

Perkara ini disahkan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah semalam sambil menjelaskan, memberitahu buat masa ini kerja-keja peleraian bekas kelonsong tembakan bunga api dan lampu pentas masih berlangsung.

“Pada masa yang sama, jambatan ini dapat menampung kapasiti seribu orang pada satu-satu masa namun had selamatnya adalah sekitar 800 orang.

“Justeru amat berbahaya ia dibuka kepada umum, kerana pasti ramai yang akan berada di situ untuk menyaksikan Regata Sarawak yang berlangsung, disebabkan lokasinya yang strategik,” katanya ketika ditemui di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini.

Sehubungan itu katanya, atas alasan keselamatan, adalah baik seandainya jambatan ini ditutup sementara sehingga acara ini tamat.

Ketika ini kedua-dua pintu masuk ke jambatan tersebut dikawal rapi bagi mengelakkan sebarang kemasukan oleh orang awam.

Jambatan ikonik ini dirasmikan tepat pada jam 11 malam 11 minit dan 11 saat pada 11 November (11) 2017 oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

Dibina sebagai jambatan pejalan kaki yang menghubungkan Kuching Utara dan Kuching Selatan, reka bentuk yang diperoleh dalam satu pertandingan, memiliki elemen tradisi dan moden, termasuk dua tiang yang mempunyai simbol burung kenyalang.

Jambatan sepanjang 335 meter ini yang berteraskan dua tiang dan kabel dibina menyeberangi Sungai Sarawak sepanjang 200 meter.

Kerana itu ia seolah berbentuk “S” bagi memudahkan aktiviti perkapalan, selain menggambarkan Sarawak dan sungai.

Pelengkap kepada Tebingan Kuching ini mula dibina pada tahun 2013 dengan kos keseluruhan RM35 juta.

Tanggungjawab pelaksanaan projek ini diserahkan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) manakala kontraktor pembinaannya dilaksanakan secara konsortium oleh PPES Works (Sarawak) Sdn Bhd dan Naim Land Sdn Bhd.

Reka bentuknya yang lengkap dengan dua ruang tinjau pula merupakan cetusan ilham KTA (Sarawak) Sdn Bhd dengan sentuhan akhir, dilengkapi sistem pencahayaan LED.

Ia adalah penyeri terbaharu untuk tebingan Sungai Sarawak selepas Tebingan Kuching dan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak. – Sarawakvoice

Comments