Kerajaan bawa usul Perjanjian Malaysia 1963 ke sidang DUN Sarawak

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dijangka mencadangkan usul Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada Mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) ini berlangsung 8-17 November ini.

Menurut Speaker DUN Datuk Amar Mohammad Asfia Awang Nassar usul Barisan Nasional (BN) itu turut disokong oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing.

Asfia dalam kenyataan beliau selepas Mesyuarat Prapersidangan DUN BN di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, usul tersebut berkaitan lawatan pasukan perundangan Sarawak ke London mengkaji dokumen penting perjanjian tersebut.

Menurut Asfia terdapat keperluan segera untuk mendapat sokongan DUN berhubung hak Sarawak seperti Akta Laut Wilayah dan sebagainya.

Asfia turut mendedahkan, empat rang undang-undang kerajaan dibentangkan pada mesyuarat kali ini iaitu, Rang Undang-Undang (RUU) Bekalan (2018), RUU Sarawak Multimedia Authority 2017, RUU Majlis Pembangunan dan Penyelidikan Sarawak 2017 dan RUU Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Pindaan) 2017.

Mesyuarat kali ini turut menerima sembilan usul daripada pembangkang, dengan 49 ahli DUN menghantar 326 soalan lisan dan 10 ahli DUN menghantar 77 soalan bertulis. – Sarawakvoice

Comments