Liga M: Beban kewangan punca pemain import Sarawak gugur, ada terima gaji sehingga RM50 ribu sebulan

KUCHING: Beban kewangan dipercayai menjadi punca Sarawak menggugurkan semua pemain import asing dan tempatan dalam saingan Liga Malaysia pada tahun hadapan.

Menurut sumber rapat Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), langkah terbaik untuk kekal bersaing adalah dengan mengetengahkan pemain-pemain muda dan menaik taraf mereka yang beraksi dalam Piala Presiden.

“Isunya bukan untuk mencuba pemain-pemain muda dan membentuk pasukan baharu.

“Tetapi berpunca daripada kekangan kewangan.

Katanya, biarlah pasukan tidak berapa kuat daripada berhadapan isu pembayaran gaji yang akan memusnahkan reputasi persatuan, memandangkan FMLLP atau Usahama Lialibiliti Terhad Bola Sepak Malaysia semakin tegas.

“Pada musim lalu kita terpaksa mengekalkan beberapa pemain daripada pengurusan lama, yang tidak berbaloi untuk dilepaskan.

“Kita kerugian begitu besar kerana ada pemain tempatan yang kontraknya hingga RM50 ribu sebulan.

“Ini sahaja cukup membebankan, apatah lagi jika beliau cedera.

Katanya, keadaan lebih parah apabila terpaksa menandatangani pemain import baharu, apabila pemain import asing yang diambil pada awal musim menunjukkan tanda-tanda “tidak sihat”.

“Terlalu banyak pembaziran yang berlaku dan akhirnya, pasukan ini menjadi begitu lemah.

Oleh itu, pada awal musim depan, kita akan melakukan “restart”, bawa angin baharu, dengan cadangan asal adalah rombakan besar-besaran.

“Kita cuba untuk berjimat bagi memastikan setiap pemain yang dihulur kontrak akan memberi sumbangan yang besar kepada pasukan.

“Kita juga menaruh harapan mereka akan beraksi matang, seperti yang ditunjukkan oleh beberapa pemain Piala Presiden musim lepas, yang menunjukkan prestasi yang agak menakjubkan.

Bagaimapun katanya, agak malang apabila tiga pemain yang seharusnya menjadi tonggak Sarawak pada musim depan telah menerima tawaran hebat.

“Tommy Mawat Bada, Nur Shahmie Iszuan dan Mohd Shreen Tambi telah dipikat oleh sebuah pasukan berstatus kelab, dengan nilai dikatakan mencecah lebih empat kali ganda daripada gaji RM7 ribu sebelum ini,” katanya.

Ditanya berkaitan kemungkinan Sarawak akan membawa masuk pemain import pada suku pertama musim, iaitu ketika jendela perpindahan pemain dibuka, sumber terbabit berkata, ia berbalik kepada kewangan.

“Jangkaan awal kita memang pasukan ini agak kurang berprestasi kerana ia pasukan benar-benar baharu.

“Tetapi ketika inilah kita perlukan pengalaman Pengiran Bala dan S Velloo.

Katanya, yang paling penting, pasukan baharu ini perlu dipersedia dengan semangat, mental dan kegigihan yang kuat.

“Semangat Ngap Sayot perlu diserap semula apabila semua pemain sanggup mati demi pasukan dan demi negeri.

“Kemudian baharu mereka dilepaskan bagai harimau lapar di padang,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Comments