Lelaki mengamuk di Taman Ibni Hashim, Petra Jaya ditahan, polis temui 3900 pil Eramin 5 di dalam keretanya

KUCHING: Tindakan pantas sepasukan peronda polis yang diketuai Asisten Superintendan Mohd Fauzi Mohammat petang kelmarin bukan sahaja berjaya menangani kes seorang lelaki mengamuk, malah berjaya merampas 3,900 biji pil dadah jenis Eramin 5 yang dipercayai dimilikinya.

Ketua Polis Daerah Kuching, Abang Ahmad Abang Julai berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5.10 petang Jumaat lalu apabila pihaknya dimaklumkan tentang satu kes amuk di Lorong Seruling 1F, Taman Ibni Hashim, Jalan Gamelan dekat sini.

“Sepasukan anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching bergegas ke lokasi sebelum menahan seorang lelaki Melayu yang mengamuk tersebut.

“Susulan penahanan, pemeriksaan lanjut dilakukan dan pada kenderaan jenis Proton Persona milik suspek yang diparkir di tepi jalan, pasukan telah menjumpai satu beg plastik tertera tulisan H&M berwarna merah.

Di dalam beg plastik berkenaan kata Abang Ahmad, pihaknya telah menjumpai 390 papan tablet disyaki dadah jenis Erimin 5 yang mana jumpaan keseluruhannya adalah sebanyak 3,900 biji.

“Kesemua dadah ini telah kita rampas untuk dijadikan barang kes.

Suspek kata Abang Ahmad merupakan lelaki Melayu berusia 31 tahun kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Sarawakvoice

Comments