Richard Riot tidak digugurkan, bakal bertanding kali ketujuh di Serian

KUCHING: Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem difahamkan akan terus ditampilkan sebagai calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Semalam, media melaporkan bahawa kedudukan Menteri Sumber Manusia itu dalam keadaan teka-teki, malah ada yang menyifatkannya umpama telur di hujung tanduk berdasarkan perkembangan semasa yang melingkari orang kanannya.

Sumber yang boleh dipercayai di Kuching dan Putrajaya memberitahu, nama Richard masih berada di papan atas, dan beliau tidak akan digugurkan dalam PRU-14.

SUPP difahamkan akan terus mencadangkan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat, Datuk Seri Najib Razak agar beliau dikekalkan.

Richard, seorang Ahli Parlimen enam penggal dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat, sering turun padang dalam usaha menyelesaikan masalah pengundi yang diwakilinya.

Dalam PRU-13, Richard meraih 19,494 undi menewaskan Edward Andrew Luwak (DAP) yang mendapat 6,343 undi, dan Johnny Aput (Star) yang hanya mendapat 390 undi.

Richard satu-satunya calon SUPP yang menang, manakala enam lagi calonnya tewas dalam PRU-13.

SUPP tewas di Bandar Kuching, Stampin, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri.

Sumber memberitahu, difahamkan Richard tidak begitu gembira dengan berita yang melaporkan beliau bakal digugurkan, apatah lagi menyenaraikan beberapa nama pengganti, termasuk empat orang pemegang ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan seorang pemegang ijazah Sarjana yang kini bertugas di Institut Perguruan Guru (IPG) Batu Lintang.

Sumber itu memberitahu, Richard sebagai berkata, mereka terbabit disalah maklum, dan tidak usah bermimpi untuk menggantikan beliau. – Sarawakvoice

Comments