Projek LRT di Kuching dilaksanakan seawal 2019

KUCHING: Hasrat rakyat Sarawak untuk melihat pelaksanaan projek sistem transit aliran ringan (LRT) siap seawal 2019 akan menjadi kenyataan apabila kajian mengenainya selesai.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika memberitahu media di Kompleks Dewan Undangan Negeri semalam berkata, dalam kajian itu antara perkara yang diliputi ialah keadaan tanah, laluan dan tenaga yang hendak digunakan.

Projek itu yang diumumkannya ketika meraikan ulang tahun keseratus sebagai Ketua Menteri 22 April lalu dan dijangka untuk permulaan meliputi kawasan Petrajaya, bandar Kuching, Batu Kawah dan Kota Samarahan.

“Kita boleh mulakan projek itu selepas kajian siap. Kita boleh mulakannya pada 2019,” katanya.

Dalam Bajet 2018 yang dibentangkan beliau pada Rabu, Abang Johari yang telah mencetuskan pelbagai idea dan dasar menarik menyatakan terdapat peruntukan untuk melakukan kajian projek terbabit.

Beliau komited untuk melaksanakan projek futuristik itu meski diragui oleh pembangkang bagi memastikan kesesakan jalan raya di kawasan terbabit dapat diselesaikan.

“Kita sedang menuju ke arah permodenan dan kerajaan perlu pastikan rakyat mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dengan masa diambil bergerak dari rumah ke tempat kerja disingkatkan,” katanya sambil menambah kerajaan sewajarnya dapat menyediakan kemudahan lebih baik sedangkan pada zaman Brooke ia dapat memperkenalkan sistem kereta api pertama dari Kuching ke Batu 10. – Sarawakvoice

Comments