Kristian boleh guna kalimah Allah di S’wak, tidak halang Oktoberfest — Abg Johari

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berbangga kerana Sarawak terkenal dengan keharmonian masyarakat berbilang kaumnya.

Beliau turut mengutip pengakuan tokoh profesional termasuk Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye  yang meletakkan Sarawak sebagai negeri yang berjaya mempromosikan keharmonian.

Abang Johari berkata, masyarakat majmuk di Sarawak bebas mengamalkan agama dan kepercayaan masing-masing.

Abang Johari berkata, “kita tidak halang penganut Kristian menggunakan kalimah Allah. Kita tidak halang penganjuran Oktoberfest…”

Kredit Foto Julia Juwen

Menurut beliau, yang penting ialah perpaduan yang kukuh antara rakyat, dengan kerajaan terus berusaha menolak apa-apa bentuk ekstremisme.

Berucap pada majlis perasmian pesta “Taste of Borneo 2017” di tapak parkir kenderaan di pusat beli-belah Boulevard, Abang Johari berkata Kerajaan Negeri sentiasa berusaha menentang ekstremisme dan isu perkauman yang tidak sihat daripada memasuki Sarawak dan seterusnya menjadi budaya penduduk di negeri ini.

Beliau turut mengingatkan rakyat agar mengamalkan budaya hidup berganding bahu bekerjasama, bertoleransi demi mengekalkan perpaduan, kerjasama antara kaum agar keharmonian dapat terus dikekalkan.

Pada majlis tersebut, Abang Johari turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Pusat Informasi Islam Sarawak dengan Persatuan Cina Sarawak. – Sarawakvoice

Comments