Dadah dikutip setelah wang dibank in di Padawan, pembantu kedai runcit hidup mewah dicekup

PADAWAN: Pasukan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak pada malam Ahad menyerbu sebuah kediaman di Batu 17, Jalan Kuching-Serian di sini sebelum menahan seorang pembantu kedai runcit kerana disyaki memiliki dadah dipercayai jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan ketika mengesahkan tangkapan berkata, suspek yang juga lelaki berusia 25 tahun dan telah berkahwin ditahan di rumahnya sekitar jam 9 malam.

“Hasil serbuan tersebut, pasukan telah menemui paket plastik yang mengandungi 14 paket kecil lut sinar disyaki dadah jenis syabu seberat 8.92 gram berhampiran kabinet kayu di rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap sebuah kenderaan Estima milik suspek turut menjumpai satu lagi paket lut sinar yang mengandungi 13 paket plastik kecil lut sinar, juga disyaki dadah jenis syabu seberat 9.20 gram di bahagian dash board penumpang.

“Secara keseluruhan, jumlah dadah yang ditemui adalah sebanyak 27 paket dengan berat 18.12 gram yang anggaran harga pasarannya RM7,500 hingga RM8,000.

Kata Aidil, siasatan awal berjaya memperoleh pengakuan suspek bahawa dadah itu miliknya.

“Malah suspek memberitahu polis bahawa dadah tersebut diperoleh melalui kutipan di lokasi yang dijanjikan, setelah bayaran dibayar melalui mesin teler automatik.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39(A)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Comments