Sarawak bakal tubuh stesen tv sendiri, Abang Jo kesal liputan lemah mengenai Sarawak oleh TV3 dan RTM

SIBU: Kesal dengan tindakan stesen televisyen swasta TV3 dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang jarang memaparkan berita tentang Sarawak, serta mempersembahkan bahan tentang Sarawak, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semalam membayangkan negeri ini bakal memiliki stesen televisyennya sendiri.

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan PBB Nangka, Pelawan, Dudong, Bawang Assan dan Bukit Assek ( Zon 10) di Hotel Kingwood, dekat sini semalam.

“Banyak lagi yang mahu kita lakukan selepas ini. Mungkin menghantar satelit di angkasa lepas… siapa tahu?

“Kalau sudah ada satelit, kita mungkin mampu mempunyai televisyen kita sendiri. Tidak perlu bergantung dengan RTM dan TV3.

“Mungkin stesen televisyen ini akan wujud pada masa saya … mudahan umur saya panjang,” katanya.

Abang Johari berkata, dengan mempunyai stesen televisyen sendiri, ia akan membuka peluang kepada pembekal drama dan kandungan visual dari Sarawak, serta saintis sosialnya mempromosikan keunikan budaya masyarakat negeri ini.

Sarawak kini mempunyai siaran percuma TV1, TV2 dan TV3 manakala TV Al Hijrah menghentikan siaran percuma pertengahan bulan ini apabila ia berintegrasi dengan MyTV.

Kebanyakan rumah di Sarawak melanggan tv berbayar Astro atau Njoy, manakala yang lain menggunakan HyppTV atau sumber lain.

Namun tidak banyak kandungan Sarawak disiarkan, manakala RTM Sarawak menyediakan segmen berita pendek dalam bentuk kapsul selain satu dua program khas serta siaran TVi.

TV3 pula tidak konsisten menyiarkan berita Sarawak terutama pada waktu puncak manakala saluran lainnya tidak kerap memaparkan kandungan Sarawak, biarpun syarikat itu sentiasa memenangi bidaan jutaan ringgit pada setiap kali pilihan raya negeri.

Kini Sarawak memiliki siaran tunggal tv internet yang dikenali TV Sarawak, namun produksi ini masih terlalu muda untuk menambat hati rakyat Sarawak, lantaran konektiviti internet yang masih lemah di seluruh negeri. – Sarawakvoice

Comments