MA63: Saya boleh 100 kali tak setuju dengan KM Sarawak, kata Pandikar

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak pandangan Datuk Seri Patinggi Abang Johari Tun Openg berkenaan signifikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan tidak kisah untuk berdebat dengan Ketua Menteri Sarawak itu berkenaannya.

"Jika beliau sanggup berdebat dengan saya, bila-bila masa sahaja," katanya.

Abang Johari sebelum ini menyangkal pandangan Pandikar bahawa MA63 - berhubung penubuhan Persekutuan Malaysia oleh Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura - hanyalah "cadangan" dan bukan perjanjian yang mempunyai kesan perundangan.

"Jika beliau tidak bersetuju dengan saya, saya juga tidak bersetuju dengan beliau. Jika beliau 10 kali tidak bersetuju, saya 100 kali tidak bersetuju," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

"Jika beliau berkata pandangan saya tidak penting, saya juga boleh kata pandangannya tidak munasabah pada pandangan saya.

"Saya biasa mendengar dua menteri besar, Pulau Pinang dan Selangor. Jadi pada saya tiada bezanya dengan pandangan ketua menteri Sarawak," katanya. -Malaysiakini

Comments