35,000 anak Sarawak jadikan Pasar Borneo tempat tumpuan, kerajaan Johor prihatin nasib mereka

PASIR GUDANG: Kerajaan Johor sentiasa prihatin terhadap nasib dan kebajikan kira-kira 35,000 rakyat Sarawak di negeri ini.

Sambil menegaskan bahawa rakyat Sarawak dialu-alukan di negeri ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan di bawah pimpinannya akan menjaga kebajikan mereka.

Keizinan untuk pembukaan Pasar Borneo di jalan Bayan di Masai yang mula beroperasi tiga tahun lalu merupakan  satu daripada buktinya.

Ia dibuka pada hari Rabu dan hujung minggu yang disertai sekitar 50 peniaga,  menjual pelbagai keperluan termasuk makanan eksotik dari Sarawak.

Pasar itu menjadi ‘Sarawak Kecil’, tempat anak-anak Sarawak bertemu dan mendapatkan makanan dan produk khas Sarawak.

Bagi mengiktiraf sumbangan dan kewujudan mereka,  pemimpin masyarakat dalam kalangan mereka  turut dilantik, bagi manfaat bersama.

“Selain itu, bantuan sempena Krismas dan bantuan persekolahan ini menjadi sebagai tanda kami di Johor khususnya di Pasir Gudang menerima masyarakat Sarawak menjadi sebahagian masyarakat di Johor,” kata Khaled pada Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Krismas dan Bantuan Persekolahan di Pasar Borneo Johor, di sini semalam.

Tambahnya, masyarakat Sarawak  turut menyumbang kepada kemajuan serta pembangunan negeri Johor.

“Hasil peranan semua pihak, Johor menjadi antara negeri paling membangun dan maju di Malaysia. Jadi kita berterima kasih kepada masyarakat Sarawak,” ujarnya.

Pada majlis itu, seramai 200 orang masing menerima sumbangan bernilai RM200 termasuk wang tunai dan pelbagai barangan keperluan harian, manakala 100 pelajar menerima bantuan persekolahan berbentuk baucer bernilai RM130.

Dalam Bajet 2018 yang dibentangkannya di dewan Undangan negeri Johor bulan lalu, Khaled mengumumkan peruntukan khas RM300,000 untuk rakyat Sabah dan Sarawak di negeri itu.

Awal Julai lalu, ketika menghadiri satu majlis di sini, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas  Uggah memuji keprihatinan Khaled menyokong anak Sarawak di Johor.

Katanya,  segala jasa dan bantuan yang disalurkan kerajaan negeri Johor kepada masyarakat Sarawak selama ini harus dibalas dengan menyokong Menteri Besarnya pada pilihan raya umum akan datang.

Justeru, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesediaan menyedia dan memberi pelbagai peluang kepada anak Sarawak khususnya komuniti Dayak. – Sarawakvoice

Comments