KUCHING: Tidak adil untuk menyalahkan pihak berkuasa tempatan apatah lagi kita belum tahu apa yang berlaku, kata Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Wahap Abang Julai berhubung kemalangan maut yang menimpa seorang penunggang motosikal di Padang Merdeka awal pagi tadi.
Lelaki berusia 28 tahun itu maut selepas motosikal yang ditunggangnya terhumban ke dalam lubang pembinaan saliran air ribut, menyebabkannya maut di tempat kejadian.
Abang Wahap yang juga bekas Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman juga mahu segala spekulasi yang bertiup berhubung kes itu dihentikan.
“Biar polis menjalankan siasatan mereka tanpa sebarang gangguan, kerana kita mahu tahu apa yang berlaku,” tambahnya lagi yang ditemui ketika mengetuai kunjungan hormat bekas pelajar St Thomas, Kuching kepada Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk James Chan di pejabatnya di sini.
Menurutnya, sebelum ini pihaknya telah memaklumkan pihak kontraktor berhubung keperluan untuk melaksanakan prosedur keselamatan.
“Justeru tidak adil untuk menuding jari kepada Dewan Bandar Raya Kuching Utara dalam isu ini.
“Malah pihak kita sentiasa bekerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) terutamanya apabila projek ini menjadi rungutan umum.
Katanya, DBKU berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor dan telah mereka telah membuat sebaik mungkin dari aspek keselamatan pengguna jalan raya.
“Dan selepas insiden ini, kita berharap mereka (kontraktor) akan meningkatkan lagi aspek keselamatan yang ada, untuk mengelakkan tragedi malang ini berulang,” katanya. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment