Buruh Indonesia maut dicekik, selepas bergaduh satu lawan satu ketika mabuk di Kuching Mall malam tadi

KUCHING: Seorang bunuh binaan Indonesia terbunuh selepas terlibat dalam pergaduhan dengan rakan sekerjanya, seorang rakyat tempatan di rumah kongsi tapak pembinaan Kuching City Mall, Jalan Stephen Yong dekat sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, kejadian dipercayai bermotifkan dendam, dengan kedua-dua suspek dan mangsa saling cabar-mencabar, selepas berselisih faham sejak tiga hari lepas.

“Terdahulu, suspek dan mangsa, serta 10 rakan sekerja mereka terlibat dalam aktiviti minum minuman keras bermula jam 5.00 petang.

Suspek yang berusia 26 tahun, dari Sungai Pasai Siong, Sibu baharu bekerja selama sebulan di tapak tersebut sebagai tukang kayu manakala mangsa yang dikenali sebagai Augustinus, 22 tahun dari Singkawang, Indonesia telah bekerja sebagai buruh binaan selama tiga tahun.

Berdasarkan siasatan awal kata Aidil, kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan tidak puas hati apabila suspek menuduh mangsa menceroboh biliknya.

“Kemudian berlaku perselisihan faham dan cabar-mencabar, dan suspek mencabar mangsa untuk masuk ke dalam biliknya.

“Apabila mangsa masuk ke dalam bilik, suspek telah mengunci pintu dan berlaku pergaduhan di dalam bilik tersebut.

Kata Aidil, selang lima minit, keadaan bertukar senyap dan curiga akan sesuatu yang buruk berlaku, rakan serumah mereka telah memecah pintu sebelum mendapati mangsa telah terbaring tidak sedarkan diri.

“Suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh rakan-rakan serumahnya, selepas berlaku pergelutan yang menyebabkan suspek cedera di buku lali.

“Suspek kemudian diserahkan kepada pihak polis yang tiba selepas dimaklumkan dan tangkapan semula dilakukan sebelum dia dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Kata Aidil, siasatan awal mendapati suspek bergaduh dengan tangan kosong tanpa senjata.

“Suspek sebaliknya mendakwa memukul mangsa dengan tangan dan lutut di bahagian dada sebelum mencekiknya sehingga tidak sedarkan diri.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Siasatan lanjut turut mendapati suspek pernah ditahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. – Sarawakvoice

Comments