KUCHING: Lima kaki judi siber dan dua ejen 4D haram merupakan antara yang dicekup dalam operasi khas Op Dadu oleh pasukan siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, tangkapan pertama dilakukan di premis Medan Selera Syn Syn, di Jalan Tun Abdul Razak, dekat sini.
“Ia adalah hasil serbuan sekitar jam 2.30 petang oleh pasukan yang diketuai Inspektor Mohammad Harun.
Suspek kata Abang Ahmad, merupakan seorang lelaki Cina yang menjadi ejen tambah nilai yang berasal dari Jalan Penrissen dan pembantunya, lelaki Melayu dari Kampung Tabuan Melayu dekat sini.
“Tiga pemain yang dicekup, semua lelaki Melayu yang masing-masing dari Kampung Semilang, Tabuan Lot dan
Bintawa Ulu.
Turut dirampas katanya, seunit telefon bimbit dan tujuh tablet selain beberapa perkakasan jalur lebar serta wang tunai berjumlah RM97.00.
Permohonan reman suspek katanya, akan dilakukan hari ini dan kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Judi online menggunakan tablet) dan Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000.
Tangkapan kedua katanya, dilakukan di
premis Wei Beauty Fashion, Jalan Ang Cheng Ho melibatkan suspek perenpuan Iban dari Kampung Ugos, Jambatan Suai, Niah.
“Suspek ditangkap kerana menjadi ejen jualan 4D haram dan turut dirampas ialah satu slip angka, satu unit telefon bimbit dan peralatan lain selain wang tunai RM46.00.
Tangkapan ketiga oleh pasukan ini juga di premis yang sama, melibatkan seorang perempuan Bidayuh dari Taman Sri Makmur Batu 6 Jalan Matang di sini.
“Kita juga merampas barangan yang hampir sama, selain wang tunai RM40.00.
Kedua-dua tangkapan ini katanya lagi, akan disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment