Dr Ahmed selamat tiba di KLIA2, polis usaha kesan lokasi terkininya — Dev

KUCHING: Siasatan masih dijalankan untuk mendapatkan lokasi terkini pakar patologi, Dr. Ahmed Mohamed Mohamed Sakr yang sebelum ini dilaporkan hilang, kata Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Dev Kumar.

Menurutnya, semakan lanjut mendapati bahawa Dr. Ahmed telah menempah tiket penerbangan Emirates dari Kuala Lumpur ke Cairo pada 23 Disember depan.

“Siasatan lanjut mendapati beliau telah mengambil penerbangan AirAsia dari Kuching pada 7 Disember, jam 6.55 petang dan tiba di KLIA2 pada jam 8.40 malam.

“Semakan sistem kamera litar tertutup di KLIA2 telah mengesahkan bahawa Dr. Ahmed tiba di KLIA2 seorang diri dan dalam keadaan selamat.

Bantuan katanya, juga telah dipohon daripada Kedutaan Mesir di Malaysia melalui Interpol Bukit Aman untuk menyemak status Dr. Ahmed daripada keluarganya di Cairo..

“Di pihak kita, siasatan setakat ini tidak mendedahkan sebarang unsur jenayah dalam kes ini,” jelasnya lagi.

Dr. Ahmed telah dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan Pakar (Patologi) oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan bertugas di Jabatan Patologi, Hospital Umum Sarawak sejak tahun 2006.

Pada 12 Disember lalu, seorang pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak telah membuat laporan polis di Balai Polis Satok bahawa rakan setugasnya, seorang pakar patologi dari Mesir gagal hadir bertugas sejak 8 Disember.

Doktor ini juga gagal dikesan di bilik sewanya di Chong Lin Plaza, dan
kes telah disiasat sebagai Orang Hilang oleh Ketua Polis Balai Satok.

“Pada masa yang sama, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Amer Awal telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah untuk menyiasat kehilangan doktor ini secara mendalam,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Comments