Abang Jo jamin perbezaan agama tidak memisahkan rakyat Sarawak

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi jaminan bahawa perbezaan agama tidak akan menjadi “isu besar” di Sarawak.

Tegasnya, di negeri yang memiliki 2.7 juta penduduk ini, kepelbagaian kaum dan agama adalah diraikan.

“Krismas misalnya, dikongsikan kemeriahan dan kegembiraannya oleh penganut agama lain tanpa ada batas,” katanya dalam perutusan Krismas dan Tahun Baharu 2018 yang disambut hari ini.

Ulanginya, beliau sebagai Ketua Menteri perlu melihat kepentingan semua kaum dan agama dan ia bukan cakap kosong.

“Kita laksanakan apa yang kita cadangkan. We walk the talk.

“Kerana itu kita kini memiliki UNIFOR atau Unit Untuk Agama Lain di bawah Jabatan Ketua Menteru bagi melihat kepentingan dan kebajikan agama lain di bawah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas,” katanya lagi.

Dalam perutusannya, Abang Johari juga berharap tahun 2018 akan membawa lebih kejayaan dan kegembiraan kepada setiap individu rakyat di negeri ini, dan juga kepada negeri itu sendiri.

Abang Johari dijadualkan mengadakan ziarah Krismas kepada beberapa pemimpin negeri yang bergama Kristian, termasuk Rumah Bishop di Jalan McDougall. – Sarawakvoice

Comments