Amaran waspada siap siaga banjir bermula hari ini hingga Ahad, hujan diramal luar biasa di Sarawak

KUCHING: Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) pada jam 4.30 petang semalam mengeluarkan “amaran cuaca waspada (peringkat kuning)” kepada tujuh Bahagian di negeri ini yang berkuat kuasa sehingga Ahad ini.

Jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin berkata,  antara kawasan yang terlibat ialah Bahagian Kuching; Bahagian Samarahan; Bahagian Serian; Bahagian Betong;Bahagian Sarikei; Bahagian Sibu; dan Bahagian Mukah.

“Sehubungan dengan itu, semua Bilik Operasi Bencana Bahagian terbabit telah bersedia untuk diaktifkan pada bila-bila masa sebagai tindakan kesiapsiagaan menghadapi bencana yang bakal berlaku, terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi seperti banjir dan tanah runtuh.

“Bilik Gerakan Negeri juga siap siaga untuk menerima maklumat bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa,” katanya hari ini.

Bilik Gerakan Negeri boleh dihubungi di talian 082-443 991 / 446 991, nombor faksimili 082-442 730 dan emel jpbn@sarawak.gov.my.

Kata Ismail, semua pejabat Residen juga telah diminta untuk memastikan pusat-pusat pemindahan yang dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), selain memastikan aset-aset pengoperasian mencukupi dan berada di dalam keadaan baik dan bersedia untuk digunakan.

Bacaan air pasang raja pada hari ini ialah 6.0 meter pada jam 8.51 malam manakala pada esok, 9.45 malam pada ketinggian 5.8 meter.

Air pasang raja pada Ahad diramalkan pada jam 10.41 malam pada ketinggian 5.5 meter. – Sarawakvoice

Comments