Kerajaan Sarawak sokong Kuching dicalon Bandar Raya Perpaduan Dunia — Abang Jo

KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak menyokong hasrat Yayasan 1Malaysia untuk mencalonkan Kuching sebagai bandar raya perpaduan dunia.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan amat berbesar hati apatah lagi kerana ia dinilai berdasarkan keaslian perpaduan dan keharmonian yang wujud di bandar raya ini sejak dahulu lagi.

Yayasan tersebut menurut Pengerusinya, Dr Chandra Muzaffar sebelum itu mahu melakukan bidaan kepada Unesco untuk menamakan Kuching sebagai “Bandar Raya Perpaduan Dunia”.

“Jika ini menjadi kenyataan, Kuching mungkin menjadi bandar raya pertama di dunia yang memperoleh pengiktirafan tersebut,” kata Abang Johari lagi ketika merasmikan Bengkel Bandar Raya Perpaduan di Pustaka Negeri Sarawak semalam.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai dan Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan, Hilmy Othman.

Dalam ucapannya, Abang Johari menjelaskan bahawa warga Kuching seharusnya berasa bangga kerana terpilih sebagai “model bandar raya” masa depan yang bersatu padu, toleransi dan harmoni.

“Perkara pokok atau asas yang membentuk perpaduan ini adalah kepercayaan di antara kita (penduduk Kuching).

“Kita percaya setiap antara kita tidak akan mencipta masalah dan tidak ada kelompok yang menjadi ‘hero’.

Pada masa yang sama, penduduk Kuching amat bertoleransi, terutama apabila membabitkan soal agama.

“Kita di sini hormati kepercayaan agama rakan kita dan kita berjaya (mengekal perpaduan) kerana kita tidak berseorangan tetapi sentiasa bersama-sama (kaum yang lain),” tegasnya.

Katanya lagi, bagi memenuhi kriteria “Bandar Raya Perpaduan”, sebuah Taman Perpaduan sedang dibina di Taman Reseivoir di sini, dengan kandungannya merupakan kepelbagaian budaya yang ada di negeri Sarawak.

Selain itu, beliau menyeru rakyat Sarawak agar tidak terpengaruh dengan perbalahan sentimen di tempat lain, dan mengimportnya ke negeri ini.

“Apa gaduh-gaduh?  Ia membuang masa, membuang tenaga,” katanya lagi.

Kerajaan tegasnya, tidak ada masa untuk itu kerana tumpuan kini diberikan kepada meningkatkan taraf hidup rakyat dan melonjakkan pendapatan petani.

Lebih 100 peserta menghadiri bengkel tersebut yang akan berakhir hari ini. – Sarawakvoice

Comments