Pakar patologi Hospital Umum Sarawak hilang, Polis Kuching pohon kerjasama orang ramai

KUCHING: Polis Kuching pada pagi semalam menerima laporan mengenai kehilangan seorang pakar patalogi Hospital Umum Sarawak yang gagal hadir ke tempat kerja sejak Jumaat lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, laporan dibuat oleh rakan sekerjanya yang bertugas di bahagian yang sama.

“Rakannya itu telah mengunjungi bilik sewa Dr Ahmed Mohamed Mohamed Sakr di Jalan Green di sini namun mendapati pintunya berkunci dari luar.

“Curiga sesuatu yang buruk berlaku, beliau telah membuat laporan polis dan   bertindak atas laporan itu, pihak polis mendapatkan khidmat pihak Bomba dan Penyelamat Batu Lintang untuk membuka pintu bilik secara paksa.

Kata Abang Ahmad, pemeriksaan di dalam bilik kemudiannya gagal menemui Dr Ahmed manakala barang-barangnya masih berada di dalam bilik tanpa terusik.

“Kita juga tidak menemui sebarang kesan penggeledahan dan kini sedang memohon pengesahan keluar masuk dari dalam dan luar negara, untuk mendapatkan status sama ada beliau ke luar negeri.

Ketika berita ini ditulis, kes masih dikategorikan sebagai “orang hilang” dan polis sedang melakukan siasatan penuh dari semua segi.

“Mana-mana pihak yang mengenali beliau atau mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Ketua Balai Polis Satok di talian 019-828-8200,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Comments