Sambutan Tahun Baharu: Bandar raya Kuching dijangka dibanjiri orang ramai malam esok, beberapa jalan ditutup

KUCHING: Bandar raya ini dan bandar-bandar lain di seluruh negara dijangka dibanjiri orang ramai yang mahu menyambut kedatangan tahun baharu, 2018, pada malam esok.

Detik yang ditunggu-tunggu ialah ketika acara kira detik menjelang jam 12 tengah malam.

Bagi memastikan keselesaan warga kota dan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, Ketua Polis Darah Kuching Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai dalam  kenyataan medianya berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching akan melakukan penutupan dan lencongan jalan raya di beberapa lokasi.

Menurut kenyataan itu, jalan yang akan ditutup ialah Jalan Market menuju Jalan Gambier, Jalan Lebuh Java/Jalan Gambier, dan jalan Main Baazar.

Tambahnya, masa penutupan akan bermula jam 3.30 petang hingga majlis selesai.

Foto Bernama

“Walau bagaimanapun, keperluan penutupan dan lencongan jalan ini bergantung kepada keadaan semasa yang difikirkan sesuai berdasarkan penilian aliran oleh pegawai polis trafik bertugas agar tidak mengganggu pengguna jalan raya lain yang ingin melakukan aktiviti harian,” katanya.

Sambutan Kira Detik Tahun Baharu akan diadakan di Waterfront Kuching, dan dijangka turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Sepanjang program berlangsung, pemantauan lalu lintas akan dilakukan oleh pegawai polis trafik bagi memastikan tiada kenderaan diletak dengan sewenang-wenangnya sehingga menyusahkan pengguna jalan raya lain berhampiran kawasan sambutan. Tindakan penguatkuasaan trafik akan diambil kepada pengguna  jalan raya yang mempunyai perlakuan seperti itu,” katanya lagi.

Tambah kenyataan itu, orang ramai yang ingin menghadiri  dan menyaksikan program berkenaan dinasihati meletak kenderaan mereka di Reservoir Park, Saujana Medan kereta, Top Spot, Dewan Suarah, dan medan letak kereta Padang Jublee MBKS. – Sarawakvoice

Comments