Abang Jo: Hanya orang Sarawak dapat pertahankan hak Sarawak

LAWAS: Sarawak punya cara tersendiri untuk selesaikan isu berkaitan tuntutan hak dan autonomi di bawah Perjanjian Malaysia 1963, kata Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Berdebat dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia tentu bukan satu daripada caranya.

Sebaliknya Abang Johari percaya, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab beliau sebagai Ketua Menteri untuk meneruskan perjuangan yang dirintis oleh Ketua Menteri kelima Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem bagi memastikan hak Sarawak dapat dikembalikan.

“Meskipun kita tahu ada orang yang bising mahu ajak kita berdebat, namun ini bukan caranya,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan PBB Bukit Kota, Batu Danau, Ba Kelalan dan Bukit Sari di sini, semalam.

Abang Johari berkata, wasiat dan perjuangan Adenan perlu diteruskan dan disemarakkan.

Ujarnya, hanya orang Sarawak dapat mempertahankan hak Sarawak, dan bukannya orang luar.

Itulah, tegasnya, beliau menghantar satu rombongan ke London baru-baru ini untuk mendapatkan dokumen berkaitan untuk dikaji.

Tambahnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah memberi jaminan akan mengembalikan hak Sarawak yang terhakis sejak perjanjian itu ditandatangani 54 tahun lalu.

Ketika merasmikan mesyuarat perwakilan PBB Zon 1 Kuching, beliau menyifatkan cabaran berdebat oleh Speaker sebagai kebudak-budakan dan paloi atau bodoh. – Sarawakvoice

Comments