Lelaki ditemui mati tergantung di batu 13 Jalan Kuching Serian

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia ditemui mati tergantung dipercayai membunuh diri di dalam bilik tidur sebuah rumah di Taman Sri Muhibbah, dekat Batu 13, Jalan Kuching-Serian di sini, kelmarin.

Mayat Darius Pajardi Gindo, 21, ditemui abangnya sekitar jam 5.50 petang ketika pulang ke rumah sewa mereka selepas habis bekerja.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi semalam.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa telah diturunkan dan diletakkan di atas tilam oleh abangnya yang bernama Paulus Edianto.

“Dia tidak sanggup melihat adiknya tergantung lalu menurunkan mangsa sebelum menghubungi ambulans,” katanya.

Aidil berkata mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya mangsa tinggal serumah dengan tiga  abangnya, namun semasa kejadian mangsa berada di rumah seorang diri.

“Polis belum dapat mengenal pasti punca mangsa membunuh diri.

“Pada hari kejadian mangsa tinggal seorang diri di rumah kerana tidak bekerja pada hari tersebut,” katanya.

Kali terakhir Darius dilihat kira-kira jam 9 pagi semasa menjemur pakaian, namun tiada kejadian aneh berlaku sepanjang hari tersebut.

Menurut Aidil, siasatan awal terhadap tubuh mangsa, polis tidak menjumpai sebarang kesan atau unsur jenayah.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu proses bedah siasat dijalankan.

Katanya mayat mangsa telah dihantar ke Rumah Mayat Hospital Umum Sarawak (HUS), bagaimanapun bedah siasat hanya akan dibuat selepas mendapat surat kebenaran daripada Konsulat Indonesia di Kuching. -Utusan Borneo Online

Comments