Lelaki maut ditahun baru selepas kereta langgar pokok di Sibu

Sibu: Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya terbabas dan melanggar pokok di Jalan Ling Kai Cheng lebih kurang satu jam selepas penduduk di sini meraikan pembuka tirai tahun baharu 2018, awal pagi tadi.

Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat dari BBP Sungai Merah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1.13 pagi.

Kemalangan tersebut telah mengakibatkan mangsa yang dikenali sebagai Lim Hood Shang, 46, tersepit di tempat duduk pemandu.

Mangsa telah dikeluarkan oleh anggota Bomba namun  disahkan meninggal dunia oleh paramediks Hospital Sibu yang turut berada di lokasi.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zailanni Amit berkata, mangsa dikatakan sedang memandu dari arah pusat bandar menuju ke Jalan Lilin semasa kejadian.

"Difahamkan kereta mangsa hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar sebatang pokok," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, cuaca hujan lebat ketika semasa kejadian.Mangsa telah diserahkan kepada pihak Polis untuk dihantar ke bilik mayat Hospital Sibu.Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutam Jalan (APJ) 1987. -Utusan Borneo Online

Comments