Rancangan Bina LRT Diteruskan- Abang Jo

KUCHING: Kerajaan negeri kekal meneruskan perancangan membina Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang laluannya bermula dari bandar raya Kuching merentasi kawasan Damai dan Serian.

Walaupun pembinaan teknologi berkenaan membabitkan kos tinggi, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata kerajaan negeri sanggup membina LRT tersebut demi menambah baik sistem pengangkutan awam bandar raya Kuching.

“Saya percaya kita dapat mengambil semula sekitar 50 peratus kos itu dan lebih penting lagi kita dapat memberikan warga bandar raya ini sistem pengangkutan awam yang lebih baik,” ujar Abang Johari merasmikan Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2017, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.

Acara tersebut dihadiri 5,000 penjawat awam yang turut menyaksikan Ketua Menteri melancarkan Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Ekonomi Strategy 2018-2022.

Pada acara tersebut turut berlangsung penyampaikan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Berdasarkan Indeks Akauntabiliti 2016, Anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam Sarawak 2017 dan Anugerah Pegawai Contoh Hari Perkhidmatan Awam 2017.

Abang Johari yakin LRT penting merancakkan sektor pelancongan negeri ini.

Beliau percaya pelancong memilih pengangkutan tersebut menuju destinasi tujuan yang berada dalam perkhidmatan berkenaan.

Abang Johari berkata, pada masa depan, tidak mustahil seluruh Sarawak akan dihubungkan dengan sistem laluan tersebut melihat kepada kemampuan kerajaan.

Abang Johari turut mengumumkan sebuah bas dan tiga kereta menggunakan teknologi bahan api hidrogen mula digunakan pada pertengahan 2018.

Dengan Sarawak yang kaya air dan berhasrat menjadi pengeluar utama hidrogen sebagai bahan api kenderaan, negeri ini turut sedia menjalankan kajian mengunakan hidrogen sebagai bahan api menggerakkan LRT terbabit. – Sarawakvoice

Comments