SERIAN: Seorang lelaki dikhuatiri hilang ketika keluar memancing di tebing sungai berhampiran kampungnya di Kampung Sebemban, Jalan Gedong dekat sini pada Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian sekitar jam 7.23 malam tadi menerusi Ibu Pejabat Polis Daerah Serian dan sepasukan tiga anggota dengan kenderaan utiliti Toyota Hilux diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian.
“Berdasarkan maklumat yang diterima, kejadian berlaku selepas upacara carolling Krismas pada Rabu, apabila sekitar jam 10 malam, mangsa telah pulang ke rumah sebelum keluar semula, untuk memancing.
“Bagaimanapun, sehingga pagi semalam, mangsa gagal pulang ke rumah, sesuatu yang di luar rutinnya.
“Keluarga mangsa kemudian menggerakkan pencarian di sekitar sungai di kampung berkenaan sebelum menjumpai peralatan memancing mangsa sekitar jam 4 petang.
Kata Ling Hii, bimbang sesuatu yang buruk berlaku, keluarganya terus membuat laporan polis di IPD Serian.
Operasi pencarian dilakukan segera malam tadi yang turut melibatkan dua anggota polis, lima anggota RELA dan 20 penduduk kampung.
Identiti mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Ariff Bagoh, 42 tahun. – Sarawakvoice
Comments
Post a Comment