Kes buang bayi sendiri, budak perempuan 12 tahun ditahan polis di Sibu

SIBU: Polis telah menahan pasangan kekasih muda bagi membantu siasatan kes buang bayi di Kampung Bahagia Jaya di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Superitenden Martin Khoo berkata, kanak-kanak perempuan yang dianggarkan berusia 12 ditahan sekitar jam 10 pagi tadi.

Ujarnya, suspek yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri mengaku melahirkan bayi berkenaan sekitar jam 6 petang pada Ahad lalu di dalam tandas, seorang diri.

"Buntu dan bimbang perkara ini diketahui orang lain termasuk ahli keluarganya, suspek telah menyembunyikan bayi tersebut ke dalam almari, ruang stor, bawah rumah kayu kediamannya.

"Sejak itu, saspek terus membiarkan bayi tersebut di sana tanpa berbuat sesuatu," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Martin berkata, suspek juga mengaku kehamilan dan kelahiran bayi tersebut tidak diketahui oleh sesiapa termasuk kedua-dua ibu bapa angkatnya walaupun mereka tinggal di dalam rumah yang sama.

Selain itu, suspek semasa disoal siasat turut mengaku pernah mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya pada penghujung tahun 2016.

Menurut Martin, suspek yang tidak bersekolah telah pun dibawa ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Katanya, polis juga telah menahan teman lelaki suspek yang merupakan seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di sini, sekitar jam 3 petang tadi.

Sementara itu, satu laporan polis akan dibuat oleh pegawai penyiasat dan akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan (melibatkan mangsa bawah umur). -Utusan Borneo Online

Comments