Jangan bermain api: ‘Sabah Untuk Sabah’, ‘Sarawak Untuk Sarawak’ kesalahan serius, kata TPM

UALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr  Ahmad Zahid Hamidi malam tadi memberi amaran keras kepada pihak tertentu dengan bermain api dan tindakan subversif yang cuba menghasut rakyat Sabah dan Sarawak dengan  slogan “Sabah Untuk Sabah” dan “Sarawak Untuk Sarawak” bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden Umno itu berkata; “Tindakan subversif ini berlaku apabila adanya pemimpin yang terperangkap dalam percaturan dalang-dalang politik bankrap idea dan muflis jiwa. Kerana asakan gelojoh nafsu dan serakah politik bertuankan tok dalang ini mereka rela menjadi bidak-bidak di papan catur.”

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Persidangan Pergerakan Sayap Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

“Bak kata orang tua-tua ‘bertelingkah antan dilesung, ayam juga yang kenyang’. Janganlah sampai kita menanggung derita akibat permainan dan hasutan campurtangan asing kelak.”

Katanya, rakyat Sabah dan Sarawak mahu terus bersama-sama Malaysia, dan berikrar Umno akan menentang tindakan “bermain api” yang mahu mewujudkan anarki dan ketidakstabilan.

Rundingan autonomi dan penyerahan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada Sabah dan Sarawak sedang berjalan melalui beberapa jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji semua hak dan kuasa yang diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan kepada Sabah dan Sarawak.

Katanya, kerajaan persekutuan tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak, terutama berkaitan keselamatan. – Sarawakvoice

Comments