Ayah maut dikelar anak sendiri di Belaga

BELAGA: Seorang ayat maut ditangan anak lelaki sendiri dalam satu insiden amuk di sebuah rumah panjang di Tanjung Long Pawah dekat sini awal pagi semalam.

Dalam insiden jam 4.00 pagi itu, suspek berusia 26 tahun dikatakan mengelar leher bapanya, Indo Usa, menggunakan parang.

Rentetan itu, mangsa berusia 61 tahun itu maut di tempat kejadian. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata selepas satu majlis keraian, suspek dalam keadaan mabuk berselisih faham dengan beberapa penduduk rumah panjang.

“Tuai rumah cuba meleraikan keadaan dan suspek kemudian masuk ke dalam rumahnya dan mengambil sebilah parangdan terus mengelar leher ayahnya yang berada dalam rumah.

“Ayah suspek meninggal dunia di tempat kejadian. Suspek kemudian melarikan diri dan tuai rumah telah melaporkan kejadian kepada polis Belaga,” kata Dev ketika dihubungi.

Mayat telah dibawa ke Hospital Bintulu dan menunggu tarikh untuk bedah siasat. Suspek akan dihadapkan ke mahkamah untuk permohonan reman hari ini.

Kes disiasat sebagai bunuh di bawah seksyen302 Kanun Keseksaan.Mengulas lanjut, Ketua Polis Daerah Belaga, DSP Melay Tinggom berkata dalam insiden itu Tuai Rumah yang cuba mententeramkan pertelingkahan keluarga berkenaan hampir terkena libasan parang suspek.

Suspek kemudian bertindak melibas parang ke arah seorang lagi lelaki sehingga mengalami kecederaan.

Menurut Melay, polis Belaga yang bertindak atas maklumat pergi ke lokasi kejadian menaiki perahu selama dua jam dan berjaya menahan suspek sekitar jam 11.00 pagi semalam.

Sebilah parang yang disembunyikan di bawah singki dapur dipercayai digunakanoleh suspek dalam insiden pembunuhan tersebut ditemui. -Utusan Borneo Online

Comments