Semua pintu masuk negara perlu ada sistem pengenalan kedua, alternatif jika berlaku kehilangan — Wan Abdillah

KUCHING: Insiden seorang penjawat awam terpaksa meninggalkan anak gadisnya yang berusia 12 tahun berseorangan hampir sembilan jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), bukan kali pertama berlaku.

Aktivis Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman berkata, perkara ini sering kali terjadi kepada “penumpang pesawat” atas pelbagai alasan.

“Ketegasan seperti ini perlu untuk aspek keselamatan, tetapi budi bicara perlu digunakan jika perkara ini membawa implikasi yang besar kepada mereka yang terlibat.

“Dalam konteks ini, pelbagai bukti telah ditunjukkan. Sepatutnya ‘kes istimewa’ dan khas ini dirujuk kepada ketua petugas atau autoriti yang lebih besar.

Sebaliknya keputusan dibuat oleh anggota di barisan hadapan….dan ini amat mengecewakan.

Katanya, adalah menyedihkan dan amat dikesali jika sesuatu yang tidak diingini berlaku kepada kanak-kanak terbabit.

“Malah saya amat bersimpati dengan trauma yang dialami oleh ibu bapa seperti yang berlaku kepada Saudara Wan Fadillah.

“Pasti rasa bimbangnya memuncak dalam tempoh tersebut … sembilan jam, akan tahap keselamatan anaknya.

Kata Wan Abdillah, seharusnya diwujudkan prosedur khas dalam menangani isu sebegini, kerana para penumpang ini adalah manusia dan terdedah kepada kekhilafan dan lupa.

“Bagaimana pula jika penumpang terbabit dirompak….diragut, dan kad pengenalannya berada di dalam beg….malah semua pengenalan diri.

“Apa pula alasan pegawai keselamatan MAHB terhadap mereka?

Katanya, beliau tidak hanya menyalahkan anggota MAHB terbabit dalam kes seperti ini.

“Ini kelemahan sistem dan teknologi. Sepatutnya, sudah wujud teknologi thumb print atau mekanisme lain sebagai pengenalan kedua di pintu-pintu masuk negara, jika berlaku insiden seperti ini.

“Kita berada pada era digital, dan perkara seperti ini perlu diwujudkan, bagi mengelakkan insiden menyedihkan seperti ini berlaku.

“Hari ini, semua pangkalan data termasuk maklumat setiap individu terdapat pada hujung jari dan retina matanya.

“Apa salahnya kita menggunakan teknologi tersebut pada masa depan,” tambahnya lagi. – Sarawakvoice

Comments