Nancy Shukri Hulur RM60,000 Kepada Mangsa Kebakaran Rh Kampung Sekendu Simunjan

SIMUNJAN: Mangsa kebakaran Rumah Panjang (Rh) Kampung Sekendu di sini menerima bantuan berjumlah RM60,000 daripada Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengumumkan demikian semasa melawat tapak kebakaran rumah panjang tersebut.

“Ketika mendengar musibah kebakaran(Rh Kampung Sekendu), saya begitu sedih sekali, jika boleh saya ingin terus pulang ke sini (Simunjan) bagi menghantar bantuan segera kepada mangsa-mangsa ini.

“Justeru, hari ini (semalam) saya menyampaikan bantuan berjumlah RM5,000 kepada setiap ketua isi rumah sebagai bantuan permulaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan mangsa kebakaran Rh Kampung Sekendu di sini, semalam.

Jelas Nancy, berhubung bantuan bahan binaan untuk membina semula kediaman baharu bagi mangsa terjejas, ia masih dalam peringkat perbincangan antara pihaknya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris.

“Perkara (pembinaan semula rumah panjang) ini perlu dilihat secara terperinci kerana ada dalam kalangan mangsa sudah memiliki rumah sendiri yang telah siap dibina tetapi belum didiami.

“Jadi, kita perlu melalui proses siasatanbaharulah kita boleh menentukan dari segi bantuan lain termasuk membina semula rumah yang telah musnah dijilat api ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Kaum Tuai Rumah Cip Budin melahirkan ucapan terima kasih atas sumbangan yang disalurkan kepada mangsa kebakaran.

“Rumah kami ranap hangus dan kami tiada tempat untuk tinggal. Pada masa ini, kami menumpang di rumah saudara-mara berdekatan.

“Terima kasih kepada semua pihak termasuk YB (Nancy) dan Awla serta pasukan bomba, JPAM dan sesiapa sahaja yang prihatin membantu kami selepas insiden malang ini,” jelasnya.

Turut tampil menghulur sumbangan berupa bekalan makanan asas semalam ialah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Sarawak.

Selain itu, wakil dari Marita Supplies & Services Anthony Chiew juga hadir menyampaikan sumbangan berupa wangtunai berjumlah RM500 kepada setiap ketua isi rumah.

Kebakaran pada kira-kira 11.45 malam Sabtu lalu menjejaskan 15 keluarga melibatkan dua blok rumah panjang yang masing-masing mempunyai tiga dan enam pintu selain turut memusnahkan tiga rumah berasingan yang terletak berhampiran.

Turut hadir pada majlis penyerahan bantuan itu ialah ADUN Simunjan Awla Dris dan Pegawai Daerah Simunjan Abdul Khalid Manap. -Utusan Borneo Online

Comments