Operasi Mencari Warga Emas Hilang Di Bau Diteruskan

BAU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga emas dilaporkan hilang selepas tidak pulang kerumah di Kampung Stass di sini sejak hujung minggu lalu masih dijalankan.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, lokasi pencarian semalam dibahagikan kepada dua kawasan iaitu di Pelaman Bo’Ow dan Kampung Sebobok.

“Operasi SAR disambung hari ini (semalam) bersama semua agensi dan penduduk kampung.

“Terdapat saksi yang mengatakan ada melihat mangsa di lokasi terakhir berkenaan pada 31 Mac yang jaraknya enam kilometer dari Pos Kawalan Bomba,”ujarnya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah JBPM Sarawak Tiong Ling Hii mengulas mengenai operasi tersebut memberitahu pasukan operasi berjaya menemui beberapa barang milik mangsa.“Kain sarung mangsa dijumpai dalam hutan kira-kira 3.6 kilometer dari Kampung Palaman Bo’Ow dan disahkan milik mangsa oleh keluarganya.

“Manakala gelang tangan dan ubat darah tinggi mangsa dijumpai kira-kira dua kilometer dari Kampung Palaman Bo’Ow,” katanya.

Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Bau kemudian mendirikan Pos Kawalan Bomba sekali gus memulakan operasi SAR, namun ia tepaksa ditangguhkan apabila cuaca gelap serta hujan lebat.

Manakala kelmarin, pasukan membuat pencarian di hutan serta di jalan utama namun mangsa masih gagal ditemui.

Setakat berita ini ditulis semalam, pasukan operasi yang diketuai Ketua BBP Bau Ebby Hirwandy Sarbin serta melibatkan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung masih belum dapat menemui mangsa. -Utusan Borneo Online

Comments