Jambatan Gantung Satok bakal kembali, Abg Jo rasmikan pecah tanah esok

KUCHING: Jambatan Gantung Satok bakal “kembali”.

Menyaksikan peristiwa bersejarah, masyarakat dijemput menghadiri Perasmian Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Semula Jambatan Gantung Satok, esok Rabu, 25 Oktober.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka melakukan upacara perasmian pecah tanah berkenaan pada 3 petang di Kubah Ria, Medan Niaga Satok.

Jambatan menelan kos sekitar RM8 juta itu ditutup 1992 dan runtuh pada Oktober 2004.

British membina jambatan ini pada 1926 memberi kemudahan kepada pejalan kaki, motosikal dan basikal menyeberangi Sungai Sarawak ketika jambatan untuk kemudahan kenderaan belum lagi dibina ketika itu.

Semua kenderaan hanya menggunakan khidmat feri bersebelahan bagi tujuan berulang-alik menyeberangi sungai antara Petra Jaya-Kuching ketika itu.

Fungsi jambatan tersebut ketika itu juga dimanfaatkan untuk menyalurkan air bersih melalui saluran batang paip yang turut “menyangga” jambatan untuk keperluan penduduk Kuching.

Pembinaan semula jambatan gantung yang mengikut reka bentuk asalnya di tapak yang sama sepanjang 213 meter dan selebar 3 meter pernah menjadi mercu tanda Satok dan bandar raya Kuching ini dijangka siap September 2019.

Uniknya dengan mengekalkan bentuk asalnya, ia direka mengikut piawaian British Standard, dilengkapi menara dan blok utama mengukuhkan kabel penggantungan.

Manakala, dek jambatan setinggi 6 meter turut dibina tangga dan tanjakan pada kedua-dua hujungnya dengan bahan keluli yang digunakan antikarat dan tahan hakisan.

Projek di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur Dan Pengangkutan Sarawak dengan penyeliaan Jabatan Kerja Raya dibina oleh Syarikat Pekerjaan Piasau Konkerit Sdn Bhd ini dibina semula sebagai tarikan pelancong.

Ia juga kekal berkhidmat memberi kemudahan kepada pejalan kaki merentasi sungai dan sebagai prasarana nilai tambah kepada operasi Medan Niaga Satok. – Sarawakvoice


Comments