Datuk Amar Jamilah terima anugerah Pehin Sri untuk arwah Tok Nan

KUCHING: Mantan Ketua Menteri kelima Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dianugerahkan bintang tertinggi negeri, Pingat Satria Bintang Sarawak (S.B.S) yang membawa gelaran Pehin Sri dalam Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Besar, Astana Negeri, pagi semalam.

Anugerah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kepada isteri Allahyarham, Datuk Amar Jamilah Anu yang menerima anugerah tersebut secara posthumous.

Dalam ucapan penganugerahan oleh mantan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Allahyarham Tok Nan disifatkan sebagai telah banyak membawa perubahan kepada pucuk pimpinan Kerajaan Negeri terutamanya kecekalan beliau memperjuang akan hak autonomi Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Tok Nan juga telah menunjukkan dedikasi dan komitmennya sebagai Ketua Menteri semua kaum di negeri ini tanpa diskriminasi.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh Tok Nan sepanjang beliau memegang pucuk pimpinan negeri demi kesejahteraan rakyat.

Rakyat juga menghargai sumbangan beliau dan ini terbukti dalam Pilihan Raya Negeri ke-11 pada 2016 yang menyaksikan Barisan Nasional menang sebanyak 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pemergian Tok Nan pada awal tahun ini ungkapnya, sedikit sebanyak telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada rakyat yang masih rindu akan saat pimpinan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.  Sementara itu, Tun Taib turut menyematkan pingat Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S)  kepada Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Fong Joo Chung yang membawa gelaran Dato Sri.

Beliau merupakan salah seorang Ahli Lembaga Pengarah Pelabuhan Bintulu Berhad.

Pingat Johan Bintang Kenyalang (J.B.K) pula disampaikan kepada tujuh penerima, termasuk isteri Ahli Parlimen Saratok, Tan Sri William Mawan Ikom, Puan Sri Datin Sri Julia Mawan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Lambir, Ripin Lamat.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu, Rodziah Morshidi pula merupakan penerima tunggal Pingat Johan Perkhidmatan Cemerlang (J.P.C) sementara Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) pula diberikan kepada sepuluh penerima dan Pingat Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) kepada sembilan orang. Pingat Bintang Kenyalang (P.B.K) diberikan kepada tujuh penerima, Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) kepada 13 penerima, Pingat Ahli Bintang Sarawak (A.B.S) dan Pingat Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K) masing-masing seramai 15 penerima. Sementara itu Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) diberikan kepada 16 penerima dan Pingat Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) diberikan kepada 28 penerima, menjadikan jumlah keseluruhan penerima kali ini seramai 123 orang. – Sarawakvoice


Comments